Wednesday, February 6, 2013

Anak Hiperaktif


ANAK adalah permata hati kita, kurniaan, anugerah dan amanah Allah kepada ibu bapa. Beruntung bagi pasangan yang memiliki anak.

Namun begitu, bagaimanakah jika kita dikurniakan anak bermasalah? Kolum Permata Hati minggu ini membawa ibu bapa menyelami perilaku tidak normal anak iaitu cara mengenalpasti dan menangani anak hiperaktif.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, hiperaktif bermaksud masalah terlampau cergas hingga pergerakannya sukar dikawal sama ada keadaan atau sifat.

Keadaan ini biasa berlaku pada kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa harus berhatihati untuk tidak melabelkan kanak-kanak normal tetapi sangat aktif dan riuh sebagai hiperaktif. Lihat dan teliti terlebih dahulu pada ciri khusus kanak-kanak hiperaktif.

Peringkat kanak-kanak adalah biasa jika mereka terlampau aktif, suka bermain dan mengalami pencapaian pelajaran sedikit merosot adalah normal. Ia bergantung pada umur dan peringkat perkembangan kanak-kanak. Secara umumnya, hiperaktif dikategorikan kepada tiga tahap iaitu kekurangan tumpuan, mengikut dorongan hati dan berkelakuan aktif.

Berkelakuan terlalu aktif

Tahap aktiviti motor yang tinggi iaitu sentiasa bergerak ke sana ke mari, berlari tanpa rasa penat, tidak boleh duduk diam dan sentiasa gelisah. Kanak-kanak yang berkelakuan seperti suka berlari, memanjat perabot dan tidak boleh berdiam diri juga tergolong sebagai kanak-kanak hiperaktif.

Kurang tumpuan

Tidak boleh menumpukan perhatian pada guru di sekolah atau tadika dan tidak berupaya menghabiskan tugas diberikan atau aktiviti permainan. Biasanya, mereka mudah beralih pandangan dari satu perbuatan ke perbuatan lain dan sering kali tidak mendengar apabila orang cuba bercakap dengannya. Mereka selalunya tidak boleh duduk bermain dengan lama seperti kanak-kanak lain.

Mengikut dorongan hati

Tingkah laku impulsif dan memenuhi kehendak diri dengan segera. Biasanya, mereka tidak suka menunggu giliran dalam permainan dan suka mengganggu orang lain. Tindakannya di luar kawalan, cepat berubah melakukan sesuatu dan tidak mengikut arahan.

Masalah ADHD cenderung berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Kekurangan tumpuan dan hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak menyebabkan mereka lewat menerima pelajaran dan membantutkan pencapaian pendidikan. Masalah ini kerap alami kanak-kanak prasekolah dan ia boleh menjejaskan pencapaian bidang pelajaran pada peringkat permulaan.

Kaedah rawatan dan cara menangani

Cuba rawat perilaku hiperaktif menggunakan kaedah pengurusan emosi yang berkesan, seperti tidak meninggalkannya bersendirian bergaul dengan kanak- kanak lebih muda. Ada kemungkinan dia akan melakukan kekerasan seperti mencederakan kawan dan diri sendiri.

Jauhkan alatan berbahaya dan tajam supaya dia tidak mencederakan dirinya sendiri, tegur dan elak menunjukkan perbuatan kasar kerana kanak-kanak hiperaktif mudah meniru pelakuan ibu bapanya.

Ibu bapa perlu tahu bahawa kanak-kanak ini memerlukan perhatian, kasih sayang yang lebih dan jangan merendah-rendahkan dirinya di depan orang lain hingga dia terasa tidak disayangi.

Hal ini boleh memburukkan keadaan dan berisiko membuatkan kanak-kanak ini bertindak di luar kawalan.

Lazimnya, kanak-kanak hiperaktif melakukan sesuatu tanpa memikirkan orang lain di sekelilingnya, cuma ikut hatinya saja dan suka bermain bersendirian.

Jika tidak diubati, berkemungkinan penyakit ini akan berterusan hingga mereka dewasa. Mainkan tanggungjawab anda sebagai ibu bapa dan lakukan yang terbaik buat anak anda.

Antara sikap kanak-kanak hiperaktif

* Degil

* Suka membantah

* Suka melanggar peraturan terutama di sekolah

* Mudah leka dan tidak memberi tumpuan terhadap sesuatu hal

* Sering kali merasa tidak puas hati

* Sering tertekan

* Menghadapi masalah dalam pelajaran dan hubungan sosial

* Cepat takut dan risau

* Suka berpeluh dan mengalami masalah sakit perut atau cirit-birit.

INFO

- Hiperaktif dikenali secara saintifik sebagai Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) iaitu perilaku atau kelakuan tidak normal menyebabkan anak menjadi sangat aktif dan lasak.

- Mereka sukar memberi tumpuan atau perhatian terhadap pelajaran, sukar bergaul dalam masyarakat dan lemah dalam bidang akademik.

- Terjadi kerana berlaku perubahan kimia (neurotransmitter) pada otak (saiz otak kecil berbanding otak normal) akibat kelahiran pramatang selain berpunca daripada ibu merokok ketika hamil, faktor genetik atau mengalami kecederaan otak ketika dalam kandungan.

- Ada kajian menjelaskan keadaan persekitaran dan faktor pemakanan menyebabkan pertambahan bilangan kanak-kanak agresif dan hiperaktif.



Info : BH/FEB 3,2013/Nadia Hamid

0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates