Sunday, February 3, 2013

Antioksida elak kerosakkan Sel


MENITI usia emas tanpa menghidapi sebarang penyakit memang menjadi impian setiap manusia. Kalau boleh usia senja di habiskan dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan tanpa perlu berulang membuat rawatan ke hospital atau menelan puluhan ubat penahan sakit.

Namun, setiap yang hidup mana mungkin akan kekal sempurna sebagaimana kecergasan dikecapi waktu remaja kerana, sedikit sebanyak tubuh pasti menerima kesannya dan yang lazim didengari ialah darah tinggi atau kencing manis yang lazimnya berkait rapat dengan aspek pemakanan.

Perunding Kesihatan, Dr Shahrizan Mohd Shah, berkata aspek pemakanan perlu diberi penekanan dengan memilih hanya yang terbaik untuk tubuh badan dan pemakanan kaya dengan bahan antioksida adalah yang paling disarankan kerana keupayaannya menentang tindakan radikal bebas yang merosakkan sel tubuh.

"Namun, jumlahnya yang berlebihan mampu mengganggu keseimbangan sel badan di atas keupayaannya mencuri elektron menyebabkan sel menjadi tidak stabil. Sel yang tidak stabil ini pula akan mencuri elektron daripada sel seterusnya dan apabila keadaan ini berlanjutan ia menyebabkan fungsi organ terganggu," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Antioksida boleh dibahagikan kepada lima jenis iaitu vitamin C, vitamin E, gluthathione, asid lipoik dan koenzim Q10. Daripada lima antioksida ini, gluthathione dan asid lipoik dihasilkan tubuh. Ia dikategorikan sebagai antioksida universal kerana meningkatkan fungsi empat antioksidan lain.

Asid lipoik juga menjadi barisan pelindung depan sebagaimana vitamin C dan E untuk menentang tindakan radikal bebas, selain melindungi dan memperbaiki sel hati, sebagai tenaga kepada otak serta sistem imun.

Bagaimanapun, Dr Shahrizan berkata, ahli sains masih tidak pasti sama ada badan menghasilkan cukup asid lipoik. Justeru, ada yang menyarankan supaya mengambil pil makanan tambahan asid lipoik, khususnya individu yang menghidap hepatitis.

"Asid lipoik mampu melindungi seseorang daripada penyakit yang sering dikaitkan dengan penuaan iaitu strok, sakit jantung dan katarak. Selain itu, ia menguatkan daya ingatan, melindungi kecederaan otak, meningkatkan keupayaan rangkaian antioksidan, membantu mengurangkan komplikasi kencing manis, melawan sel kanser dan melambatkan penuaan.

"Ia dihasilkan daripada tiga jenis asid amino dalam badan untuk meneutralkan tindakan radikal bebas, sekali gus mengitar semula vitamin C yang mengalami proses pengoksidaan supaya boleh digunakan lagi," katanya.

Asid lipoik juga membantu hati untuk menyingkirkan bahan toksik dan kimia, termasuk daripada ubat dan pencemaran, supaya hati dapat berfungsi dengan sempurna, selain terbabit dalam penyimpanan serta pengagihan asid amino ke seluruh badan.

FAKTA

Antioksida

* Antioksida adalah sekumpulan komponen yang dihasilkan badan manusia dan wujud secara semula jadi dalam kebanyakan makanan, terutama buah-buahan serta sayur-sayuran dan ia berperanan melindungi tubuh daripada tindakan radikal bebas berlebihan yang boleh merosakkan sel dan tisu.

* Hakikatnya radikal bebas yang berlebihan mendatangkan racun kepada tubuh, namun, ia tidak datang sekelip mata sebaliknya mengambil masa puluhan tahun menunjukkan `taringnya'. Justeru, perubahan gaya hidup perlu dilakukan mulai sekarang bertujuan menghalang kerosakan sel daripada terus berlaku.

* Penyelidik percaya memakan banyak makanan mengandungi gluthathione sejak kecil dapat mengurangkan risiko penyakit kronik dan memanjangkan hayat seseorang.

* Vitamin C menghalang tindakan radikal bebas daripada merosakkan DNA (bahan baka) dalam sel. Selain merendahkan risiko kanser dan penyakit jantung.



Info : Berita Harian/13 Apr 2006/Penulis:Nor Afzan Mohamad Yusof

0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates