Tuesday, February 26, 2013

Bebas Kimia



Kesedaran pengguna mengenai bahaya bahan kimia dalam produk dandanan diri dan kosmetik semakin meningkat.

Mereka lebih bijak membeli produk rumusan semula jadi serta organik untuk mengelak sebarang kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan.

Penyelidik dari MarketLine mendedahkan lebih 35 peratus pengguna mencari produk peribadi berasaskan bahan semula jadi daripada membeli kosmetik mengandungi bahan kimia sintetik.

Justeru, pengeluar kosmetik pula melihat aliran permintaan ini seharusnya dipenuhi, lantas merumus bahan yang terbaik untuk kesan terbaik bagi kecantikan dan kesihatan.

Laporan menunjukkan, pada 2010, hampir 10 peratus produk baru di pasaran tertera perkataan `bebas paraben'. Pengguna turut memilih kosmetik bebas daripada bahan tambahan lain seperti alkohol atau bahan kimia.

Malah kandungan `tanpa alkohol' adalah pilihan tertinggi pengguna yang mementingkan kesihatan. Penghasilan produk kecantikan berasaskan organik banyak bergantung kepada kesedaran pengguna. Pengeluar akan menumpukan kepada pendekatan pemasaran menjurus kepada mendidik pengguna terhadap bahaya bahan tambahan tertentu dan manfaat memilih kosmetik berasaskan bahan semula jadi.

Pasaran serantau

Packaged Facts dalam laporannya menyebut, dalam tempoh lima tahun sehingga 2010, pasaran untuk produk penjagaan rambut, alat solek dan penjagaan tubuh berasaskan bahan semula jadi, mencatatkan perkembangan sehingga 60 peratus. Ketika itu, industri berkenaan bernilai hampir RM24 bilion dan dijangka mencecah ke paras RM33 bilion menjelang 2016.

Produk penjagaan peribadi berasaskan bahan semula jadi dan organik dibungkus sama dengan produk tradisional untuk menarik pengguna. Dalam jangka pendek, syarikat perlu memanfaatkan pelbagai saluran runcit untuk mengekalkan rangkaian pasaran. Penjualan digital, menerusi media dan memainkan peranan utama dalam pembangunan pasaran, pada masa depan.

Penyelidik pasaran, Freedonia meramalkan pengguna akan meningkatkan perbelanjaan terhadap produk kosmetik, mandian berasaskan bahan organik dan semula jadi sebanyak mungkin.

Syarikat pula ingin menarik perhatian pengguna dengan memaparkan unsur semula jadi seperti ekstrak botani, asid amino dan enzim dalam strategi pemasaran mereka.

Semakin ramai pengguna kini `berpaling' daripada membeli produk yang me ngandungi rumusan komoditi dan minyak petroleum sebaliknya lebih suka produk yang lembut seperti ekstrak botani.

Produk semula jadi dan organik di United Kingdom (UK), umpamanya menyaksikan peningkatan besar pasaran terhadap produk baru dilancarkan.

Banyak produk baru menyasarkan kumpulan pengguna tertentu merangkumi bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki dan wanita baru bergelar ibu.

Majoriti produk ini akan terus dijual menerusi premis makanan organik dan peruncit khusus walaupun penembusan runcitnya lebih tinggi di pasar raya, peruncit kecantikan, farmasi dan kedai serbaneka.

Didik pengguna

Pengeluar produk dandanan diri terus menumpukan perhatian untuk mengguna pakai standard bahan semula jadi dan organik sebagai kaedah pemasaran mereka sejajar menyediakan produk yang selamat, memenuhi piawaian dan mendidik masyarakat mengenai penggunaan bebas bahan kimia.

Syarikat pengeluaran kosmetik berasaskan bahan semula jadi dan organik mencatatkan Perancis menerajui pasaran di Eropah. Badan Pemantau Organik mendapati, jualan tahunannya terus mencatat lebih daripada 20 peratus pertumbuhan.

Peningkatan itu juga dapat dilihat menerusi penembusan runcit didorong oleh pengagihan melalui kilang minyak wangi, farmasi, parafarmasi, pasar raya, kedai serbaneka, pasar raya besar, salun dan spa.

Pasaran di Asia Barat juga mencatat jumlah memberangsangkan apabila produk mandian organik dan semula jadi menyaksikan pertumbuhan sebanyak 20 peratus.

Menurut penyelidikan daripada badan Pemantau Organik, Emiriah Arab Bersatu `menjuarai' penguasaan pasaran saham produk semula jadi dan organik sejak kebelakangan ini di wilayah terbabit.

Justeru, potensi yang hebat dapat disaksi secara meluas bagi pasaran produk asli dan organik pada ketika ini.

Pertumbuhan pasaran akan didorong oleh permintaan untuk produk kecantikan organik, hijau dan sekali gus semakin banyak ruang rak khusus untuk produk berkenaan bagi membantu memacu pertumbuhan pasaran ke tahap lebih tinggi.

Kebimbangan pengguna terhadap kesan bahaya daripada bahan sintetik dalam produk penjagaan peribadi merek termasuk parabens, garam aluminium dan phthalates, terus merangsang permintaan untuk produk semula jadi.

Piawaian dan persijilan standard akan membuktikan, pada tahun mendatang pengguna mencari penanda dipercayai dalam memilih produk kosmetik mereka.

Ketika Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menerajui jualan, kadar pertumbuhan adalah lebih tinggi berbanding negara lain dan menunjukkan potensi pertumbuhan yang besar bagi industri dandanan diri.

Pengeluar terbaru pasaran ini termasuk Garnier, Henkel dan Amore Pasifik.

INFO

Panduan pengguna

- Banyak produk penjagaan kulit melabelkan produknya sebagai semula jadi. Pengguna harus tahu apakah ukuran kesahihannya.

- Pakar kulit menyatakan, bahan semula jadi dan organik boleh mengakibatkan alergi. Sesetengah pewangi semula jadi (benzyl alcohol, citral, citronellol, eugenol, geraniol, limonene and linalool) adalah penyebab alergi umum.

- Sesetengah minyak asas (bergamot, anggur dan lemon) akan meningkatkan risiko penjemuran dan pewarnaan pigmen. Pengguna disaran mengelakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari selepas menggunakan kosmetik yang mengandungi bahan ini.

- Majlis Pengguna Hong Kong ini, memberi panduan yang boleh membantu pengguna melakukan pilihan sekiranya ingin membeli produk kecantikan berasaskan organik.

Antaranya:

- Periksa sijil pada produk. Terdapat sistem pensijilan antarabangsa yang berlainan untuk produk kosmetik. Ia diukur berdasarkan peratusan organik semula jadi digunakan dalam produk.

- Baca senarai bahan dengan teliti. Senarai bahan kosmetik disusun dalam turutan predominan, iaitu bahan unggul disenarai dahulukan.

- Sesetengah produk mendakwa bebas bahan kimia seperti pewangi dan pewarna. Dakwaan seperti ini tidak boleh diambil kira sebagai pematuhan kepada standard organik.

- Pengguna dinasihati supaya berhati-hati semasa membeli dan menggunakan produk dilabelkan organik ataupun semula jadi. Pastikan label mematuhi standard ditetapkan


Info:BH/Feb 18, 2013/Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates