Saturday, February 23, 2013

Hayat Usia


USIA lanjut realiti kehidupan yang tidak boleh dielak. Selagi jangka hayat individu belum terhenti nafas, mereka perlu terus menjalani kehidupan.

Dengan tahap penurunan kesuburan dan peningkatan jangka hayat, menjadikan warga tua semakin ramai di negara ini. Malaysia akan menjadi sebuah negara menua menjelang 2030.

Justeru, ia adalah satu cabaran kerana dalam tempoh 18 tahun akan datang, 15 peratus daripada populasi penduduk negara ini terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Jangkaan itu turut menjelaskan, Malaysia mencapai tahap negara menua hanya dalam tempoh 26 tahun iaitu lebih cepat jika dibandingkan dengan negara Eropah yang mengambil masa 100 tahun untuk mencapai tahap menua.

Persoalan utamanya ialah cabaran yang akan dihadapi warga tua. Oleh sebab penuaan adalah isu penting dan kompleks kerana ia merangkumi dimensi sosial, psikologi, demografi dan perubatan.

Proses semula jadi

Yang pasti, penuaan adalah proses semula jadi tidak boleh dielakkan, tetapi ia turut menjadikan ramai risau mengenai perubahan fizikal dan penyakit bakal dialami akibat penyusutan daya tahan tubuh.

Seiringan dengan penuaan, tubuh bakal mengalami penurunan kadar penghasilan hormon pertumbuhan atau sistem edokrin yang penting untuk mengawal keseimbangan tubuh dan metabolisma seseorang.

Pakar Perunding Endokrinologi, Prof Datuk Dr Khalid Abdul Kadir, menjelaskan tubuh akan mengalami penuaan secara semula jadi seiring peningkatan usia dan perkara itu sangat menarik walaupun tubuh mempunyai sistem agak rumit.

"Apabila usia meningkat, badan mudah terdedah kepada pelbagai risiko penyakit. Ini kerana, mereka yang lebih berusia secara semula jadi menghasilkan glukos dikenali sebagai Advanced Glycosylation End (AGE products - AGEs) yang menyebabkan penimbunan tisu.

"Seiring usia, kelenjar pituitari semakin kurang mengeluarkan hormon dan kadar metabolisma tubuh juga menjadi perlahan. Tanda dan gejala penuaan semakin kelihatan," katanya ketika perbincangan kesihatan mengenai 'Penuaan dan Hormon: Bagaimana Melalui Penuaan Tetapi Kekal Menawan di Pusat Perubatan Tropicana, baru-baru ini.

Hormon tumbesaran

Dr Khalid berkata, hormon tumbesaran dihasilkan kelenjar pituitari (kelenjar endokrin utama) membolehkan pertumbuhan dan mengawal metabolisma.

Katanya, pelbagai jenis organ dalam badan yang mengeluarkan hormon dan satu organ mengeluarkan beberapa jenis hormon dan pembebasan hormon dikawal selia oleh kelenjar dalam otak depan dipanggil hipotalamus.

"Kadar perkembangan hormon dalam kalangan kanak-kanak amat pesat berbanding dewasa. Semakin meningkat usia, hormon dihasilkan semakin berbeza antara lelaki dengan wanita. Hormon itu juga mengalami penyusutan drastik ketika seseorang mencecah 25 tahun.

"Hipotalamus membebaskan satu jenis hormon bertindak merangsang organ lain dan membebaskan hormon yang berakhir dengan penghasilan satu bentuk tindak balas atau fungsi untuk tubuh," jelasnya.

Kesan penuaan

Proses penuaan turut menyebabkan wanita dan lelaki mula berhadapan dengan pelbagai masalah hingga boleh memudaratkan diri, keluarga dan komuniti.

Katanya, individu melalui penuaan akan terdedah kepada tanda membimbangkan termasuk peningkatan kadar kemurungan dan kematian, penyusutan memori, kekurangan daya seks, kekuatan otot menyusut,penyakit kardiovaskular dan osteoporosis.

Risiko penyakit

Katanya, lelaki lebih mudah berhadapan risiko masalah berkaitan jantung seperti strok, serangan jantungberbanding wanita dan anak muda kerana berlakunya age products menyebabkan proses pembaikan tisu berkurangan dan penghasilan hormon pertumbuhan semakin kurang.

"Paras gula tinggi dalam darah mempercepatkan pertambahan bahan AGEs dalam tubuh menyebabkan penimbunan tisu. Jadi, tidak hairan kebanyakan pesakit diabetes kelihatan lebih tua daripada umur sebenar.

"Paras gula tinggi juga menyebabkan risiko penyakit seperti kanser, tekanan darah tinggi dan pelbagaipenyakit lain, ditambah faktor sekeliling, misalnya merokok dan bahan toksin daripada pencemaran," katanya.

Jangka hayat penduduk Malaysia

FAKTA

Kajian pada 2009

- Usia lelaki

- 72.6 tahun

- Usia Wanita

- 77.5 tahun

Kajian pada 1980

- Usia lelaki

- 63.5 tahun

- Usia wanita

- 67.1 tahun



Info; BH/21 FEB 2012/Fatin Hafizah Mohd Sahar

0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates