Sunday, February 3, 2013

Makanan Antioksidan Awet Muda


BANYAK cara boleh digunakan untuk mengekalkan keremajaan atau awet muda, antaranya ialah melalui penjagaan makanan dan banyak senyuman. Antara makanan yang dikatakan mampu melakukan tugas ini ialah yang kaya dengan bahan antioksidan.


Banyak pengeluar produk makanan kesihatan mendakwa mempunyai bahan antioksidan yang boleh menentang tindakan radikal bebas, sedangkan pada masa sama kita sebenarnya dikelilingi pelbagai jenis makanan yang juga kaya dengan bahan berharga ini. Malah, badan kita turut menghasilkan bahan antioksidan.

Boleh dikatakan semua penyakit, termasuk sakit jantung dan strok, disebabkan tindakan radikal bebas yang merosakkan sel badan.

Akibat kesan ini, radikal bebas sering diberi gambaran buruk, walaupun hakikat sebenarnya ia bertindak sebagai pelindung dan ejen melawan jangkitan.

Namun jumlah radikal bebas yang berlebihan akan mengganggu keseimbangan sel badan apabila ia mencuri satu elektron daripada satu sel untuk menjadi stabil. Sel tidak stabil (dipanggil radikal bebas) akan mencuri pula elektron daripada sel seterusnya dan apabila keadaan ini berlanjutan ia menyebabkan fungsi organ terganggu.

Antioksidan adalah sekumpulan komponen yang dihasilkan badan manusia dan wujud secara semula jadi dalam kebanyakan makanan, terutama buah-buahan serta sayur-sayuran. Fungsinya ialah melindungi badan daripada tindakan radikal bebas berlebihan yang boleh merosakkan sel dan tisu.

Radikal bebas yang berlebihan boleh menjadi racun kepada badan. Namun, ia mengambil masa bertahun-tahun untuk menunjukkan kesannya.

Jadi sebelum kesan radikal bebas itu dirasai, lebih baik jika kita mengambil tindakan, khususnya melalui perubahan gaya hidup, untuk menghalang kerosakan sel terus berlaku.

Antara perubahan penting ialah pemakanan yang menjadi sumber penting antioksidan kerana menurut Perunding Kesihatan, Dr Shahrizan Mohd Shah, peningkatan usia menyebabkan keupayaan badan menghasilkan antioksidan semakin berkurangan.

Katanya, ada lima jenis antioksidan iaitu vitamin C dan E, gluthathione, asid lipoik dan koenzim Q10. Daripada lima antioksidan ini, gluthathione dan asid lipoik dihasilkan oleh badan.

Ia dikategorikan sebagai antioksidan universal kerana meningkatkan fungsi empat antioksidan lain. Asid lipoik juga menjadi barisan pelindung depan sebagaimana vitamin C dan E untuk menentang tindakan radikal bebas.

Ia juga melindungi dan memperbaiki sel hati, sebagai tenaga kepada otak serta sistem imun. Bagaimanapun, saintis masih tidak pasti sama ada badan menghasilkan cukup asid lipoik.

Justeru, ada yang menyarankan supaya mengambil pil makanan tambahan asid lipoik, khususnya individu yang menghidap hepatitis.

Dr Shahrizan berkata, asid lipoik mampu melindungi seseorang daripada penyakit yang sering dikaitkan dengan penuaan iaitu strok, sakit jantung dan katarak.

Selain itu, ia menguatkan daya ingatan, melindungi kecederaan otak, meningkatkan keupayaan rangkaian antioksidan, membantu mengurangkan komplikasi kencing manis, melawan sel kanser dan melambatkan penuaan.

Ia dihasilkan daripada tiga jenis asid amino dalam badan untuk meneutralkan tindakan radikal bebas. Ia juga mengitar semula vitamin C yang mengalami pengoksidan supaya ia boleh digunakan lagi.

Ia membantu hati untuk menyingkirkan bahan toksik dan kimia, termasuk daripada ubat dan pencemaran, supaya hati dapat berfungsi dengan sempurna. Ia juga terbabit dalam penyimpanan dan pengagihan asid amino ke seluruh badan.

Selain dihasilkan oleh badan, gluthathione banyak terkandung dalam buah-buahan dan sayur-sayuran seperti avokado, kentang, tembikai, asparagus, limau gedang (grapefruit), oren, tomato, brokoli, pic, zukini dan bayam.

Penyelidik percaya memakan banyak makanan mengandungi gluthathione sejak kecil dapat mengurangkan risiko penyakit kronik dan memanjangkan hayat seseorang.

Sebagaimana gluthathione, koenzim Q10 dihasilkan dalam badan dan boleh diperoleh daripada makanan laut serta organ dalaman haiwan seperti hati dan jantung.

Ia berfungsi membantu penghasilan semula vitamin E dan mengaktifkan sel otak. Koenzim Q10 juga penting untuk menghalang seseorang mendapat penyakit Alzheimer dan Parkinson kerana tindakannya ke atas sel otak.

Koenzim Q10 juga biasanya digunakan untuk merawat penyakit gusi dan jantung. Malah, mendapat cukup koenzim Q10 dikatakan boleh menghalang penyakit jantung.

Sumber utama vitamin C ialah sayur-sayuran dan buah-buahan. Sejak kecil kita disuruh makan banyak sayur dan buah, tetapi masih ada antara kita yang menguis ke tepi potongan sayur dalam pinggan.

Umum mengetahui manfaat vitamin C, terutama kebolehannya menghasilkan kolagen untuk kulit yang cantik dan meningkatkan sistem imun bagi mengurangkan kekerapan diserang selesema.

Namun yang lebih penting ialah, vitamin C menghalang tindakan radikal bebas daripada merosakkan DNA (bahan baka) dalam sel. Selain merendahkan risiko kanser dan penyakit jantung, vitamin C sebenarnya penting bagi lelaki kerana ia membantu melindungi sperma.

Semakin meningkat usia kita, keperluan mendapat vitamin C yang cukup juga semakin penting kerana ia boleh menghalang masalah katarak. Ia juga bekerjasama dengan vitamin E untuk melindungi warga tua daripada serangan jantung.

Semua orang tahu vitamin E boleh membantu mencantikkan kulit dan menghilangkan parut lebih cepat. Ia melindungi kulit daripada radiasi sinar ultra ungu dan ozon yang boleh menyebabkan kita cepat berkedut.

Namun, manfaat vitamin E sebenarnya lebih daripada itu kerana ia meningkatkan daya ketahanan badan, melambatkan proses penuaan sel otak dan dengan ini boleh melengahkan kemunculan penyakit Alzheimer.

Ia juga dikatakan boleh meredakan simptom artritis dan penyakit keradangan lain. Malah, vitamin E boleh mengurangkan risiko kanser prostat, penyakit jantung dan merencatkan pembentukan sel kanser payu dara.

Pada masa sama, vitamin E turut melindungi kemusnahan vitamin A dan C serta sel darah merah. Untuk mendapat manfaat ini, banyakkan makan sayur-sayuran berdaun hijau.

Malah, minyak sayur seperti minyak kelapa sawit, kacang, badam dan jagung juga kaya dengan vitamin E.

Bagaimanapun, kata Dr Shahrizan, banyak khasiat pemakanan, terutama vitamin A, C dan E hilang ketika proses memasak. Selain itu, tabiat pemakanan kita menyebabkan ramai tidak cukup zat, walaupun banyak makan.

Ini sebabnya kita disaran mengambil pil makanan tambahan, sekurang-kurangnya pil multi vitamin. Bagaimanapun perlu diingat, jangan makan vitamin dengan perut kosong atau bersama kopi mahupun teh.

Namun yang lebih penting ialah ia diambil secara tetap untuk mendapat kesannya.

Dalam memilih pil makanan tambahan, Dr Shahrizan menyarankan supaya membeli jenama yang dipercayai dan ada perkataan 'bioenhance'.

Maknanya, ia menjalani proses khas yang membolehkan badan menyerap lebih banyak khasiat daripada pil berkenaan sehingga 80 peratus berbanding hanya 40 peratus pil makanan tambahan biasa.

Pun begitu, yang lebih penting ialah mengamalkan kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua perkara dilakukan, berhenti merokok serta bijak menangani tekanan kerana tekanan melampau akan menghasilkan lebih banyak antioksidan.

Ini semua akan meningkatkan daya pertahanan badan semula jadi, menajamkan minda dan mengekalkan keremajaan badan.


Info : Akhbar/ Mac 12,2006/pages 55/ Penulis: Norlaila Hamima Jamaluddin

0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates