Thursday, March 21, 2013

Khasiat buah-buahan sitrus

KEBANYAKAN buah-buahan sitrus seperti oren, limau bali, limau gedang dan limau mandarin dimakan segar. Jus oren dan limau gedang sangat popular dijadikan sebagai minuman ketika sarapan pagi manakala lemon atau limau nipis pula tidak dimakan begitu saja kerana kandungan asid sitrik yang tinggi.

Jus lemon dan limau nipis biasanya dimasukkan ke dalam minuman untuk mendapatkan rasa masam bagi memberi kesegaran kepada tubuh selepas meminumnya.

Selain itu, jusnya juga banyak digunakan sebagai ramuan dalam pelbagai hidangan seperti salad atau diperah ke atas ikan mentah untuk menyingkirkan bau hamis.

Sejak zaman purba hingga pertengahan, limau banyak digunakan terutamanya untuk tujuan perubatan, memerangi masalah mabuk laut dan penyakit usus.

Minyak pati pada lapisan kulit paling luarnya dianggap sebagai antibiotik. Namun, hari ini limau menjadi antara bahan penting untuk membuat minyak wangi.

Di Iran, kulit limau yang tebal digunakan untuk membuat jem, antara makanan yang turut dihasilkan di Pakistan selain jeruk.

Dalam masakan Cina, kulit oren sering digunakan sebagai hiasan sajian daging merah. Ini menjadikan ia turut menjadi bahan penting dalam perubatan Cina.

Di sebalik rasanya yang masam dan manis itu, buah-buahan sitrus juga mempunyai banyak kegunaan dalam perubatan seperti sapuan jus lemon dapat membantu melegakan sengatan lebah.

Selain itu, lemon yang mengandungi asid sitrik paling pekat daripada buah-buahan sitrus yang lain turut membantu mengurangkan kadar pembentukan batu karang dalam perut.

Menerusi kandungan vitamin C yang tinggi, ia membantu menghalang masalah skurvi iaitu penyakit yang disebabkan kekurangan nutrien berkenaan dalam badan.

Tanda awal masalah skurvi adalah keletihan. Jika dibiarkan tanpa dicegah ia boleh menyebabkan gusi menjadi bengkak dan berdarah serta melambatkan penyembuhan luka.

Bukan hanya isi dalamannya saja yang berguna, malah kulit oren atau lemon juga kadang kala dijadikan sebagai pembersih muka.

Kulit limau yang dijadikan jeruk itu dikatakan dapat membantu memudahkan penghadaman dan kaya dengan lemak. Malah, ia dipercayai dapat membantu menurunkan tahap kolesterol.

Untuk membantu mengurangkan masalah tekanan darah rendah yang mengganggu sistem metabolisme serta menghalang saluran kalsium, pengambilan jus limau gedang boleh diamalkan.

Sementara itu, kalsium dan vitamin D adalah nutrien diperlukan dalam menjaga kesihatan tulang. Jika kekurangan nutrisi berkenaan ditambah dengan faktor penuaan, ia boleh menyebabkan tulang menjadi rapuh secara perlahan-lahan.

Walaupun susu menjadi pilihan dan sering diakui kelebihannya dalam menjaga kesihatan tulang, namun kajian terkini menunjukkan tulang dapat menyerap kalsium dan vitamin D yang terkandung di dalam jus oren sama seperti susu.

Jus oren bukan saja baik untuk tulang, tetapi ia juga kaya dengan vitamin C dan antioksidan yang tinggi. Oren yang turut diperkaya karbohidrat dalam bentuk fruktosa, glukosa dan sukrosa membantu melambatkan proses pengosongan perut, pencernaan serta penyerapan khasiat makanan.

Baunya yang wangi itu turut memberi kelebihan dalam membantu mengembalikan semangat di samping melegakan tekanan menerusi minyak pati yang dihasilkan daripada limau oren.

Info: HM/4 MAC 2013/AUTHOR HAJAHFARHANA TARMUDI

0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates