Monday, March 4, 2013

Petualang isu Lahad Datu perlu dihukum


Sepi seketika Dataran Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis apabila Datuk Seri Najib Razak mengusulkan supaya lebih 3,000 belia yang hadir untuk bersama beliau menyedekahkan bacaan al-Fatihah kepada wira negara yang terkorban dalam kejadian di Sabah.


Perdana Menteri mahu menyampaikan mesej kepada generasi muda negara supaya menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan negara bagi menjamin rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.

Menceritakan rasa sedih dan sebak apabila berhadapan dengan keluarga anggota yang terkorban, pemimpin nombor satu negara itu nyata tersentuh dengan peristiwa hitam itu apabila beliau tidak lupa menyentuh insiden di Lahad Datu dan Semporna dalam ucapannya pada tiga majlis yang dihadirinya di sekitar Indera Kayangan.

Keluarga dalam keadaan sedih

"Walaupun Sabah jauh dari Perlis, kebetulan isteri Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, perwira kita yang terkorban di Lahat Datu berasal dari Kangar dan saya pasti tentu keluarga itu masih dalam keadaan sedih yang teramat sangat.

"Marilah kita sedekahkan al-Fatihah kepada mereka yang terkorban, semoga ditempatkan dalam kalangan syuhada," katanya ketika pada program Himpunan Sukarelawan Muda 1Malaysia (IM4U).

Nor Aziah Nor adalah anak kepada pengusaha gerai roti canai di Taman Era, antara lokasi sarapan yang menjadi pilihan ramai di Kangar.

Dekatnya insiden di Sabah itu pada diri Perdana Menteri makin jelas apabila seterusnya beliau ke Masjid Al Mustaqim untuk menunaikan solat dan seterusnya mengaminkan doa yang disampaikan imam masjid itu untuk memastikan keselamatan anggota keselamatan negara terpelihara.

Tuduhan pembangkang mengarut

Marahnya beliau tidak dapat dibendung tatkala menyingkap sikap buruk pembangkang yang membuat tuduhan melulu kononnya pertumpahan darah yang setakat ini mengorbankan lapan nyawa wira negara itu satu konspirasi dan perancangan rapi UMNO.

Sebelum ini pembangkang pernah menggarap cerita dongeng umpama mainan politik berhubung isu hampir sama ketika insiden Memali di Kedah dan tragedi Sauk di Perak apabila ia turut mengorbankan nyawa.

"Ada pembangkang yang sanggup hina mereka yang terkorban itu kononnya ia mainan sandiwara UMNO untuk takutkan rakyat Sabah dan Malaysia.

"Kita tak buat demikian, cuma manusia yang tak ada isi perut dan nilai kemanusiaan sanggup lakukan perbuatan keji dan manusia itu juga keji," katanya.

Kekesalannya itu mendorong ucapan yang mahukan rakyat menentang habis-habisan pendustaan dan pembohongan besar pembangkang kerana seolah-olah memandang remeh berhubung isu keselamatan rakyat dan negara ini.

Pembangkang didakwa dalang

Tentunya ia bertitik tolak daripada tersebarnya dakwaan dalam pelbagai media sosial asing seperti portal berita Filipina, Inquirer News yang mendedahkan, seorang pemimpin utama pakatan pembangkang di Sabah yang rapat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan penceroboh dan menawarkan jaminan sokongan terhadap tuntutan kumpulan terbabit di Sabah.

Inquirer News yang memetik sumber perisikan Filipina dilaporkan sebagai berkata, pertemuan itu berlaku November tahun lalu menyebabkan Sultan Sulu, Jamalul Kiram III mengarahkan pengikutnya menceroboh Kampung Tanduo bagi menuntut Sabah daripada Malaysia.

Selain itu, Reuters dipetik mengeluarkan kenyataan seorang pegawai tentera Filipina yang berkata penceroboh berkenaan hadir atas jemputan pembangkang.

Sebab itu jugalah Perdana Menteri mempersoalkan kenapa sekarang berlaku pencerobohan itu. Akal yang rasional tentunya akan mengaitkannya dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, tetapi apakah huru-hara itu boleh memberi manfaat negara ini.

Apa gunanya nyanyian lagu Negaraku, kibaran Jalur Gemilang dan laungan 1Malaysia jika dalam diri rakyat tetapi gagal menerapkan nilai murni setiap seorang rakyat. Niat murni untuk menyatukan rakyat berbilang bangsa menerusi 1Malaysia seharusnya mendapat sokongan semua walaupun realitinya sukar untuk pembangkang menerima sesuatu yang diusahakan kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun, dalam menghadapi situasi sebegini, elok jika diketepikan fahaman politik kerana yang paling utama adalah keselamatan rakyat termasuk anggota pasukan keselamatan dan juga keamanan negara ini.

Wajar bagi semua untuk memainkan peranan bagi mengekalkan status Malaysia yang masih kukuh mempertahankan sistem demokrasi berperlembagaan, mendaulatkan institusi diraja dan patuh kepada undang-undang yang sewajarnya menjadi tonggak utama untuk mengorak langkah negara maju tujuh tahun dari sekarang.

Info: BH/5 Mac 2013/Fatimah Ahmad

0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates