Monday, April 1, 2013

Kesihatan Mata

PERNAHKAH insan sempurna memikirkan apakah rasa dan perasaan orang yang buta atau cacat penglihatan? Macam mana mereka mengurus diri? Jika ingin membaca mereka tidak ada masalah kerana boleh menggunakan sistem braille.

Jadi orang buta tiada masalah sakit mata disebabkan aktiviti membaca. Bagi insan celik, mata adalah pancaindera utama untuk membaca. Bahan bacaan diperoleh daripada pelbagai sumber seperti buku, komputer atau lainlain.

Yang nyata, tanpa mata yang berukuran 22 milimeter (mm), berisi padu 2.4 mililiter (ml), mempunyai 126 juta sel peka cahaya di samping memiliki 1.2 juta urat saraf kecil yang menyambungkan mata kepada otak, masakan kita mampu melihat dunia dan meneruskan pelbagai aktiviti termasuk membaca.

Oleh itu, mata memerlukan cahaya mencukupi dan tepat ketika membaca untuk mengelak kesan buruk dalam tempoh jangka masa panjang.

Pakar Optalmologi dari Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, berkata membaca ketika berada pada posisi tidak betul sebenarnya tidak merosakkan mata sebaliknya hanya rasa kurang selesa dan cepat penat.

"Membaca bukan penyebab mata rosak. Paling penting, membaca memerlukan cahaya yang cukup terutama pada waktu malam untuk mengelak mata menjadi letih dan rabun.

"Ada teori mengatakan ketika membaca dalam cahaya kurang, memaksa kita mendekatkan mata dengan buku. Ia boleh menyebabkan mata menjadi penat sekali gus mengundang kepada masalah rabun jauh," katanya ketika dihubungi, barubaru ini.

Perlu banyak cahaya.

Ada sesetengah individu gemar membaca sambil berbaring, tetapi ia tidak mengganggu atau merosakkan mata, sebaliknya cuma memenatkan mata.

Lazimnya, cahaya lampu pada waktu malam memancar daripada atas iaitu siling atau tepi dinding. Ketika berbaring cahaya sukar terpancar terus pada bahan bacaan.

"Posisi berkenaan boleh menghalang pencahayaan yang betul pada bahan bacaan menyebabkan mata menjadi letih dan tidak baik untuk kesihatan mata. Posisi berbaring bagaimanapun tidak menjadi masalah sekiranya ada reading light atau cahaya lampu memancar terus pada bahan bacaan berkenaan.

"Berusia lebih 40 tahun mula mengalami presbiopia dan ketika itu mereka memerlukan lebih cahaya untuk membaca. Cahaya banyak memberi kontras pada tulisan dan akan tampak lebih jelas dan dapat merehatkan mata," katanya.

Prof Dr Muhaya bersetuju, lampu duduk dengan bohlam 60 watt dinilai terlalu terang, sebaliknya di bawah 40 watt pula terlalu redup.

"Kurang cahaya menyebabkan kerja otot terlalu berat sehingga mata mudah pedih dan sekali gus mempercepat kewujudan miopia (rabun jauh)," katanya.

Masyarakat sepatutnya tidak perlu membesar-besarkan cerita dengan mengatakan mata yang rabun dikatakan rosak.

Jangan takut pada rabun kerana ia bukan bermaksud mata sudah rosak sebaliknya, cuma struktur mata masih sihat. Rabun cuma mengganggu penglihatan sama ada jarak jauh atau dekat.

Rehat perlu mata

Selain buku, individu banyak melihat dan membaca menerusi komputer, telefon bimbit dan gajet lain.

Membaca, membuat kerja dan membaca menerusi komputer pada jarak dekat serta terlalu lama pula boleh menyebabkan otot mata menjadi penat.

"Komputer bukan boleh menyebabkan mata rosak sebaliknya pandangan lama menyebabkan mata menjadi letih. Nasihat saya ialah apabila membaca menerusi komputer dalam tempoh 10 minit, ambil masa seketika untuk memandang benda lain yang berada pada jarak jauh. Itu antara kaedah merehatkan mata," katanya.

Rabun bagi kanak-kanak

Beliau berkata, masalah kerosakan mata juga membabitkan kanak-kanak kerana ada antaranya yang memakai cermin mata di bawah pada usia kurang tujuh tahun.

Kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah mata, lebih elok dirawat segera dan jika perlu memakai kaca mata bagi mengelak lebih buruk.

Apa yang penting pastikan anak membaca dalam cahaya yang terang dan mencukupi, selain elakkan menonton televisyen pada jarak terlalu dekat.

"Dulu, orang rabun dan mereka lambat pakai cermin mata. Tetapi, sekarang ada banyak sesi penyaringan mata yang diadakan di TADIKA supaya kita dapat cepat mengenal pasti tahap penglihatan mata anak," katanya.

INFO

Mengenai rabun


* `Presbyopia' berlaku kepada mereka yang mencapai usia lebih 40 tahun. Ia disebabkan proses pengerasan kapsul kanta yang menyebabkan pengurangan pergerakan kapsul ketika melihat objek.

* Dalam keadaan seseorang ingin memfokus objek yang dekat kapsul harus mengendur untuk menjadikan kanta itu lebih cembung.

Apabila berlaku pengerasan, maka proses ini sukar dilakukan dan keupayaan mata untuk melihat objek yang dekat berkurangan.

* Penyelesaiannya, pakai cermin mata untuk membaca.

* Tukar setiap dua tahun.

* Vitamin A diperlukan untuk proses biokimia di dalam retina.

* Banyakkan makan sayur lobak merah.

Panduan penjagaan mata

1) Perlu tahu kemungkinan mengalami 40 peratus masalah rabun jika ibu bapa juga mengalami rabun

2) Menguji tahap mata anak berusia empat atau lima tahun bagi mengelak mata 'malas'.

3) Membaca dalam sumber pencahayaan yang baik dan secukupnya.

4) Elak merokok untuk jaga kesihatan mata.

5) Jangan terpedaya dengan doktor yang menjanjikan keberkesanan cara rawatan.

Cara merehatkan mata.

1) Jangan lihat benda yang dekat terlalu lama sebaliknya perlu melihat benda yang jauh secara berselangseli.

2) Galakkan anak bermain aktiviti luar seperti bola.

3) Elakkan kerap permainan video.

3) Tidur dapat merehatkan mata dan minda.

4) Jangan tengok dekat dalam masa yang lama.

Kajian mengenai mata

- Kajian menunjukkan kemungkinan seorang perokok mengalami degenerasi makula adalah dua kali ganda dibandingkan dengan bukan perokok.

- Penggunaan ubat titis tidak perlu bagi mereka berusia 50 tahun ke atas yang mempunyai mata kering akan tetapi penggunaan air mata palsu dapat memberikan kelegaan dan keselesaan.

- Menggosok mata terlalu kerap dan kuat boleh kemungkinan mereka akan menghidap keratoconus iaitu kelemahan pada struktur kornea yang menyebabkan perubahan kornea menjadi bentuk kon dan menyebabkan rabun atau rabun silau.

- Makanan tambahan tidak boleh merawat kerabunan, tetapi vitamin dan lobak merah hanya memberi kesihatan pada retina mata.

- Boleh rujuk buku `Peliharalah Matamu' oleh Prof Dr Muhaya Mohamad.

Info : BH/14 JAN 2013/ OLEH -HIDAYAH MOHAMMAD

0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates