MANUSIA dilahirkan daripada pelbagai latar belakang berbeza yang
pastinya turut mempengaruhi warna dan `seri' wajah individu, khususnya
wanita. Namun, biarpun berbeza latar belakang, hakikatnya, tanyalah
mana-mana wanita, antara impian mereka adalah memiliki kulit yang sihat
dan cantik.
Di Malaysia misalnya, kaum Melayu kebanyakannya dalam
kategori kulit sawo matang dan kuning langsat sementara masyarakat Cina
berkulit cerah dan India pula berkulit gelap. Bukan soal warna jadi
ukuran utama, tetapi sihat dan serinya kulit itu tanpa dicemari noda
seperti jerawat dan kusam, menjadi keutamaan.
Malah, cuba anda
perhatikan di sekeliling, ada wanita yang tidak perlu bergantung kepada
bantuan secalit pun kosmetik, sebaliknya masih tampak manis berbekalkan
kulit cantik dan warna sekata.
Namun, faktor iklim khatulistiwa
dan sinaran mentari yang menjadi teman setia bagi wanita Malaysia,
menjadikan usaha memiliki kulit cantik itu satu dugaan, Akibatnya,
pencemaran udara yang kotor, kulit yang tidak dijaga dengan rapi
mengundang wajah kusam, kasar, berbelak dan gelap, boleh menjejaskan
penampilan wanita berkenaan.
Bersandarkan kesedaran mengutamakan
kesihatan, kian ramai wanita, seawal usia remaja, lebih memilih cara
semula jadi sebagai rejim kecantikan mereka. Rahsia petua lama, diteroka
dan diamalkan bagi kecantikan wajah yang mengundang kewujudan spa yang
tumbuh bak cendawan selepas hujan berikutan permintaan yang
menggalakkan.
Ramai yang pasti mahu menyelami petua kulit cerah
dan jelita Mahsuri, Puteri Gunung Ledang dan Cik Siti Wan Kembang yang
kecantikan mereka terus menjadi bualan dan kekaguman sehingga ke hari
ini.
INFO
Khasiat alam semula jadi
* Lulur kopi
Sentalannya mampu menanggalkan sel atau kulit mati. Ia juga dikatakan baik untuk peredaran darah
* Halia
Khasiatnya untuk menghangatkan badan, membuang angin dan baik untuk pengaliran darah.
* Kayu manis
Dapat menghilangkan parut dan bantu atasi jerawat pada kulit badan. Juga bertindak sebagai penghilang tekanan.
* Kelapa
Menggunakan
minyak dan dalam bentuk parutan, dapat menghilangkan bau badan, sel
kulit mati selain menjadikan kulit lembap dan lembut.
* Kacang hijau
Pencerahan kulit, menjadikan kulit halus dan tampak muda.
* Pupur
Penting
selepas proses lulur supaya kulit lebih berseri dan kelihatan gebu.
Bahan yang biasanya dijadikan pupur ialah kacang soya, buah betik,
sengkuang, dadih dan campuran herba semula jadi.
Sapuan bahan semula jadi yang dikisar itu perlu dibiarkan seketika di seluruh tubuh sekurang-kurangnya 10 minit.
* Mandian susu
Seelok-eloknya, gunakan susu kambing yang menjadikan kulit lebih halus, mulus dan cerah.
Info: BH/25 JUN 2012/OLEH-HIDAYAH MOHAMMAD