Wednesday, June 12, 2013

Keliru Khasiat Makanan

WALAUPUN maklumat mengenai kesihatan dan pemakanan boleh didapati dengan mudah, masih ramai secara tidak sedar mempertahankan kepercayaan lama yang tidak tepat. Malah ada yang mengajar dan menurunkannya kepada anak, menyebabkan ilmu salah ini terus diwarisi.

Kurang faham dan salah anggapan mengenai pemakanan turut berlaku di kalangan golongan berpendidikan tinggi yang tinggal di bandar besar.

Antara salah anggapan yang paling biasa ialah makanan mahal (termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan) itu lebih baik, kata Pengurus Dietetik Hospital Assunta, Ho Shiau Fen.

Sumber tempatan, sama ada sayur-sayuran atau buah-buahan, sebenarnya mempunyai khasiat setanding dengan yang diimport.

Malah sumber tempatan ada beberapa kelebihan kerana ia boleh dibeli pada bila-bila masa dan harganya jauh lebih murah, terutama jika pada musim buah-buahan.

Harga bukan ukuran kebaikan satu-satu produk kerana setiap sayur dan buah ada kelebihan masing-masing.

Anggapan sayur dan buah import lebih baik disebabkan kebanyakan kajian saintis luar negara dilakukan ke atas produk yang ada di negara mereka, tetapi ia tidak bermakna sayur dan buah di negara kita kurang berkhasiat, katanya.

Contohnya kajian mengenai lima warna sayur dan buah (hijau, merah, kuning-jingga, putih dan biru-ungu) yang penting untuk meningkatkan tahap kesihatan dan mencegah pelbagai penyakit, termasuk kanser.

Jika hendak dikira, kita ada banyak sayur dan buah yang mewakili setiap warna. Jadi buat apa berbelanja lebih membeli produk import, sedangkan produk tempatan mempunyai khasiat sama.

Antara salah anggapan mengenai pemakanan lain ialah:

* Dakwaan iklan mengenai kandungan nutri atau khasiat adalah betul - Usah terpedaya dengan kata-kata manis iklan. Iklan sememangnya bertujuan menarik perhatian pengguna. Tiba masanya kita menjadi pengguna yang bijak dengan membaca label bahan bagi mengetahui kandungan utama satu-satu produk.

Lihat pada senarai bahan. Ia disusun mengikut sukatan dan bahan paling banyak akan ditulis mendahului bahan lain. Jadi contohnya jika senarai bahan didahului dengan gula (atau ditulis dengan nama lain seperti sirap - semua jenis sirap), jus tebu, gula perang, madu, karamel, dekstros (dextrose), dekstran (dextran), semua jenis malta (malt), galaktosa, glukosa, fruktosa, laktosa, maltosa, sukrosa); bermakna kandungan utama produk berkenaan adalah gula.

Jika didakwa satu-satu produk itu bebas kolesterol kerana menggunakan minyak sayur, lihat pula nilai pemakanan yang lain daripada segi kandungan lemak dan gulanya.

* Diet vegetarian lebih menyihatkan - Tidak benar kerana ia bergantung kepada beberapa faktor seperti kaedah memasak dan penggunaan bahan dalam masakan serta pengambilan daging, ayam atau ikan analog (olok-olok) iaitu yang diperbuat daripada gandum, kekacang, soya atau cendawan dan diberikan rasa seperti daging, ayam atau ikan.

Ramai hairan bagaimana individu vegetarian boleh gemuk. Sebenarnya pemakanan mereka sama dengan kita cuma tidak makan sumber haiwan dan jika pengambilan kalori melebihi keperluan harian, tentu mereka boleh mengalami masalah kegemukan.

Produk gantian sumber haiwan seperti daging atau ayam olok-olok kebanyakannya tinggi kandungan garam dan lemak kerana ia biasanya digoreng terlebih dulu sebelum dicampurkan dalam masakan.

Jadi tidak hairan jika ramai di kalangan individu vegetarian pun mengalami pelbagai penyakit, termasuk masalah kegemukan, kolesterol tinggi atau tekanan darah tinggi, khususnya jika kerap mengambil makanan tinggi kandungan lemak dan garam, katanya.

Ada banyak sebab mengapa seseorang itu mengamalkan diet vegetarian seperti kepercayaan agama, kepercayaan, budaya atau kesihatan. Namun, anggapan bahawa daging tidak elok untuk kesihatan perlu diperbetulkan kerana semua makanan ada khasiat tersendiri dan daging mengandungi banyak protein.

Cuma yang perlu dilakukan sebelum memasak ialah memastikan membuang lapisan lemak atau kulit (pada ayam) untuk menangani isu kolesterol tinggi.

Selain itu gunakan kaedah memasak yang menyihatkan seperti bakar, kukus, rebus atau reneh supaya sajian disediakan bukan saja berkhasiat tetapi mampu membuka selera.

* Makanan organik lebih baik - Dakwaan ini benar jika ia membabitkan isu racun serangga perosak. Objektif asal menghasilkan sayur organik ialah mengelak penggunaan racun serangga perosak yang boleh menjejaskan kesihatan.

Namun daripada segi khasiat, tiada bukti kukuh mengatakan produk organik lebih tinggi kandungan zatnya berbanding produk bukan organik.

Dalam menangani isu racun serangga perosak, Ho menyarankan sayur-sayuran dicuci di bawah air mengalir sehingga bersih sebelum dipotong.

* Jus buah adalah minuman menyihatkan. Ya, jika ia 100 peratus jus buah yang tidak mengandungi gula tambahan. Secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada tiga iaitu jus buah, minuman jus atau minuman buah-buahan.

Apa bezanya dan bagaimana hendak membezakannya? Sebelum membeli, baca labelnya dulu. Untuk jus buah 100 peratus, pastikan pada label tidak ditambah bahan lain kecuali jus buah itu sendiri, sedikit air (jika ada) dan kadangkala pengawet semula jadi.

Lihat perkataan yang tertera pada botol atau kotak minuman sama ada ia tertulis '100 peratus jus buah', 'minuman jus (juice beverage) yang mengandungi 35 peratus jus buah atau 'minuman buah-buahan' (fruit beverage) yang hanya mempunyai lima peratus jus buah.

Jus buah tulen (100 peratus) adalah makanan tambahan terbaik yang mampu memenuhi keperluan badan harian. Komiti Penasihat Garis Panduan Pemakanan 2005 Amerika Syarikat mengatakan jus buah tulen membekalkan sesetengah vitamin dan garam galian yang lebih baik berbanding memakan buah itu sendiri. Ini kerana kadangkala cara pemprosesan jus buah juga boleh meningkatkan paras fitonutrien.

Sebaliknya bagi minuman jus atau minuman buah-buahan, ia biasanya mengandungi banyak gula, perisa dan pewarna tambahan serta bahan pengawet.

* Untuk dapat kalsium, perlu minum susu atau makan produk tenusu - Benar, susu dan produk tenusu kaya dengan kalsium tetapi jika anda ada masalah tidak toleran laktosa (akibat ketiadaan enzim laktase untuk menghadamkan gula dalam susu iaitu laktosa), anda akan mengalami cirit-birit.

Bagaimanapun, kita masih boleh mendapat kalsium daripada ikan bilis dan sayur-sayuran berdaun hijau. Pada masa sama kita juga akan mendapat serat, pelbagai vitamin dan garam galian yang sangat penting untuk kesihatan.

* Lemak berbahaya untuk kesihatan - Tidak benar kerana bukan semua lemak berbahaya dan ia mempunyai peranan penting dalam memastikan badan mampu berfungsi dengan baik. Lemak memberi badan tenaga, mengekalkan kesihatan kulit dan rambut; membantu badan menyerap vitamin A, D, E dan K (dipanggil vitamin larut lemak).

Lemak akan memenuhi sel lemak di bawah kulit bagi membantu memanaskan badan. Malah, lemak penting dalam membantu perkembangan otak, mengawal keradangan dan pembekuan darah. Walaupun ia penting, kuantiti diperlukan adalah sedikit. Justeru, kita perlu mengurangkan penggunaan dan pengambilan lemak.

* Satu-satu produk itu baik kerana kawan mengatakannya begitu - Sekali lagi, jadilah pengguna yang bijak dengan membaca label bahan dan kandungan khasiat pada kotak atau plastik pembungkus makanan. Ini penting, terutama jika ada ahli keluarga anda mempunyai masalah tekanan darah tinggi, kencing manis atau mengalami kegagalan buah pinggang.

Info:MA/30 Jan 2011/ Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates