Wednesday, February 6, 2013

Bahana Barah Servik

Info: BH/29 Nov 2012/Saadiah Ismail
Preview image, see text for description

Sebut saja mengenai penyakit barah, pasti setiap orang sudah membayangkan saat kematian dan menganggap hidupnya tidak akan bertahan lama. Semangat bagaikan sudah dibawa pergi, perasaan seakan sudah mati dan wajah menampakkan keresahan berpanjangan.

Mana tidaknya, jika barah dikesan berada pada peringkat akhir, harapan untuk sembuh amat tipis. Namun, jika barah dapat dikesan pada peringkat awal dan rawatan diberikan dengan segera, harapan sembuh amat tinggi.

Bagi wanita, barah paling ditakuti ialah barah payudara juga digelar pembunuh nombor satu dan diikuti barah servik (pangkal rahim). Untuk pemeriksaan saringan bagi barah payudara, wanita diajar memeriksa payudara sendiri dan digesa menjalani mamogram.

Berbanding barah servik, rata-rata masih ramai wanita malu berbicara masalah dihadapi. Tahap pengetahuan mengenainya amat rendah serta penerimaan suntikan pencegahannya juga tidak diterima ramai. Justeru, kesedaran mengenai penyakit itu diperluaskan dan wanita perlu bersikap terbuka dengan segala maklumat yang ingin dikongsi.

Barah servik adalah barah kedua tertinggi di kalangan wanita di seluruh dunia dengan anggaran 500,000 kes baru dan 250,000 jumlah kematian setiap tahun.

Barah ini paling biasa berlaku di kalangan wanita pada usia reproduktif.

Berdasarkan data Daftar Kanser Negara, terdapat kira-kira 1,400 kes baru barah servik dilaporkan di mana separuh daripada mereka dikesan pada peringkat lewat.

Apa yang unik daripada barah lain ialah barah servik ini lebih disebabkan oleh virus. Jika dapat mengenal pasti dengan lebih awal, ia dapat diselamatkan.

Virus boleh dipindahkan melalui hubungan seksual

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan 99 peratus kes barah servik berkait rapat dengan jangkitan Human Papillomavirus (HPV), iaitu sejenis jangkitan yang paling kerap berlaku di saluran reproduktif berbanding jangkitan kelamin yang lain. Jangkitan ini berlaku melalui sentuhan kulit ke kulit tanpa disedari dan tidak mendatangkan sebarang gejala mahupun tanda.

Ahli Klinikal Kesihatan Seksual dan Reproduktif serta Penyakit Berjangkit, Yayasan AIDS Malaysia, Dr Ilias Adam Yee, berkata sesiapa yang pernah menjalani hubungan seksual, sama ada lelaki mahupun perempuan berkemungkinan terdedah kepada jangkitan berkenaan walaupun dengan hanya satu pasangan saja.

Katanya, virus ini boleh dipindahkan melalui hubungan seksual intim tanpa disedari. Walaupun ada kes jangkitan yang boleh sembuh dengan sendirinya, namun beberapa faktor dikenal pasti dapat memanjangkan jangka masa jangkitan itu menjadi kronik, termasuk pendedahan kepada virus secara berterusan dan merokok. Sekurang- kurangnya, 50 peratus dalam kalangan lelaki dan wanita yang aktif secara seksual turut mendapat jangkitan HPV dalam hidup mereka.

Merebak tiga cara

"Virus HPV ada lebih daripada 100 jenis dan boleh dikategori berisiko tinggi dan rendah. Virus HPV berisiko tinggi termasuklah jenis 16, 18, 31 dan 45 yang boleh menyebabkan barah. Dalam kitar hidupnya, virus itu akan memasuki sel tubuh dan menyebabkan perubahan bahan genetik sehingga boleh menyebabkan pembahagian sel yang tidak teratur dan terkawal seterusnya mengakibatkan barah berlaku."

"Sementara itu, virus HPV 16 dan 18 dikenal pasti berbahaya kerana menjadi penyebab kepada 70 peratus barah servik di seluruh dunia. Berbeza pula virus berisiko rendah 6 dan 8 yang amat tipis untuk menjadi barah, tetapi menghasilkan ketuat genital," katanya ketika ditemui pada program Fabulous Female anjuran Celebrity Fitness (CF), di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Kanan Pemasaran CF, Evelyn Low.

Dr Ilias berkata, servik terdapat dalam dua bahagian iaitu endoservik (berada di dalam berdekatan uterus) dan ectoservik (bahagian luar dekat dengan faraj). Barah kerap muncul pada titik peralihan antara kedua-dua bahagian berkenaan.

Sementara itu, dua jenis barah iaitu squamous cell carcinoma (ektoserviks; yang bercirikan sel rata dan nipis) dan adenocarcinoma (endoserviks; terhasil daripada sel kelenjar). Sekiranya barah berlaku pada kedua-dua jenis sel terbabit, ia dikelaskan sebagai carcinoma jenis bercampur.

Beliau berkata, barah servik ini boleh merebak dengan tiga cara iaitu menyerang struktur berdekatan seperti faraj, rektum, atau tisu lain berhampiran rahim dan faraj, merebak melalui nodus limfa di dalam pelvis atau lebih jarang melalui darah ke organ yang berjauhan seperti otak dan paru-paru.

"Untuk mengetahui sama ada kita terkena jangkitan berkenaan agak sukar kerana pada peringkat awal tiada tanda boleh dikesan sehinggalah ia menjadi invasif dan tumbuh ke dalam tisu berdekatan. Cara yang paling efektif untuk mengesan barah itu adalah dengan menjalani ujian pap smear.

Kenali gejala

"Gejala lain yang biasa ialah tompok darah atau pendarahan kecil di luar waktu perdarahan haid, pendarahan selepas menopous dan pendarahan atau sakit ketika melakukan seks.

"Selain itu, mengalami gejala anaemia, sakit kaki, pelvis dan belakang berterusan, kencing tersumbat akibat rebakan kepada buah pinggang dan saluran kencing, pendarahan dalam pundi kencing dan kehilangan berat badan juga merupakan antara simptom barah. Anda tidak perlu risau kerana tidak semestinya gejala yang dinyatakan itu boleh menjadi kanser servik. Apa yang penting lakukan pemeriksaan terlebih dulu," katanya.

Bagaimanapun, Dr Ilias menjelaskan, ada cara yang efektif untuk mencegah penyakit itu daripada merebak. Paling penting setiap individu perlu mengawal risiko faktor berkenaan daripada terus merebak.

"Penggunaan kondom dengan cara yang betul dan konsisten dapat mengurangkan kebarangkalian seseorang dijangkiti virus HPV seterusnya kanser servik untuk wanita. Namun begitu, pencegahan yang paling efektif adalah untuk mendapatkan vaksin, terutamanya orang yang belum mula melakukan seks. Selain itu, wanita disarankan melakukan ujian saringan pap smear secara berkala setiap satu sehingga tiga tahun agar dapat mengesan barah itu dengan awal," katanya.

INFO

Human Papillomavirus (HPV):

* Dua kategori HPV iaitu jenis 16, 18, 31 dan 45 (tinggi) berisiko menyebabkan kepelbagaian barah termasuk barah servik.

* HPV jenis 6 dan 11 menyebabkan ketumbuhan bukan barah seperti ketuat genital.

Tanda dan gejala

* Pendarahan ketika melakukan hubungan seks

* Pendarahan pada pertengahan bulan

* Pendarahan selepas menopaus

* Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj

* Sakit ketika melakukan hubungan seks

Siapa berisiko mendapat jangkitan HPV?

* Jangkitan HPV biasanya berlaku kepada wanita yang pernah dan sering melakukan seks.

* Disebabkan jangkitan HPV boleh berlaku secara senyap, ia mungkin berada di bahagian serviks bertahun lamanya sejak anda melakukan seks.

* Kemungkinan akan bertambah apabila anda melakukan seks dengan berlainan pasangan.

* Juga apabila anda melakukan seks dengan pasangan anda yang mempunyai pasangan seks yang lain.

* Jangkitan HPV tidak hanya berlaku kepada perempuan saja, lelaki turut berisiko yang sama untuk mendapat jangkitan HPV.

* Jangkitan HPV juga mempunyai kaitan dengan barah di bahagian vulva, vagina, zakar, dubur dan juga oral untuk kedua-dua jantina.


0 comments:

 
Free Website templatesFree Flash TemplatesRiad In FezFree joomla templatesSEO Web Design AgencyMusic Videos OnlineFree Wordpress Themes Templatesfreethemes4all.comFree Blog TemplatesLast NewsFree CMS TemplatesFree CSS TemplatesSoccer Videos OnlineFree Wordpress ThemesFree Web Templates